Wednesday, September 2, 2009

Bagaimana Cara Nak Pikat Remaja Pergi Ke Masjid

Satu artikel dan saranan daripada PM kita yang dimuatkan di dada akhbar pagi ini. Jika anda belum membacanya inilah intipati berita tersebut.

PEKAN 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ahli jawatankuasa masjid dan surau mencari jalan untuk menarik golongan muda supaya terus mengimarahkan masjid selepas bulan Ramadan.

Menurut Perdana Menteri, suasana masjid dan surau yang sesak dipenuhi oleh para jemaah termasuk golongan muda sepanjang bulan puasa seharusnya dikekalkan untuk melahirkan insan beriman dan bertakwa.

“Harapan saya semoga rumah Allah ini dijadikan tempat beribadat untuk semua golongan. Kita tak mahu lihat dalam bulan Ramadan sahaja, rumah ibadat penuh sesak dengan mereka yang berpusu-pusu ke masjid untuk solat dan bertarawih.

“Terlintas pada fikiran saya, adakah keadaan ini dapat kita pertahankan dalam bulan-bulan lain.

“Adalah penting untuk kita ambil langkah supaya golongan muda berjinak-jinak dengan masjid. Kalau tidak, masjid sesak pada bulan Ramadan, tetapi sepi pada bulan-bulan lain.

“Jawatankuasa masjid dan surau boleh fikirkan bagaimana untuk menarik minat golongan muda lebih kerap mengunjungi masjid selepas Ramadan,” kata beliau.

Kita semua kena fikirkan akan perkara ini, bukan sahaja AJK Surau, Imam-imam atau Ustaz-ustaz tetapi seluruh umat harus memikirkan akan perkara yang penting ini. Kerana apa ianya penting? Kerana sumbangan belia bertakwa penting bantu kejayaan, pencapaian ummah sepanjang zaman. Janganlah kita hanya aktif beribadat pada bulan Ramadhan sahaja. Agama Islam bukanlah agama yang bermusim macam musim EPL. Amal dan Ibadah adalah berterusan hingga ke hari kiamat.

GENERASI muda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara. Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, sukakan cabaran, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta.

Inilah perkembangan naluri dan fitrah generasi muda dalam proses membentuk diri menuju kematangan dan masuk ke alam dewasa. Sebagai pemuda Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan.

Potensi yang dimiliki boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara, tetapi ia juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan negara. Isu utama ialah bagaimana potensi itu digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna secara bermanfaat.

Islam meletakkan generasi muda pada kedudukan mulia dan hal ini berbeza berbanding pada zaman sebelum kedatangan Islam. Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya, tetapi sejurus selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab.

Corak remaja atau belia pada zaman itu terbentuk melalui kesan tarbiah rohaniah dan jasmaniah yang dipimpin melalui pendekatan wahyu iaitu melalui cara hidup Islam. Budaya atau cara hidup bersandarkan reda Allah wujud pada diri pemuda ketika itu.

Ini menyebabkan mereka tidak saja memiliki pedoman dan dorongan terbaik untuk memandu jalan hidup, tetapi budaya reda Allah itu membentuk kedewasaan remaja yang akhirnya menjadikan mereka taat serta patuh terhadap perintah Allah dan sentiasa mengelak melakukan apa dilarang.

Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk.” (Surah al-Kahfi: 13)

Allah juga memasukkan belia dan remaja yang menghabiskan masa mengabdikan diri kepada Allah dalam kegiatan hidupnya sebagai manusia yang dimasukkan ke dalam golongan mendapat perlindungan lembayung payung Allah di Padang Mahsyar kelak.

Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, pemuda yang hidup dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua untuk menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan antaranya mempunyai banyak masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai kecerdasan akal fikiran, mempunyai daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain.

Pada ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.”

Pemuda pada awal Islam menjadi tonggak dakwah dan ejen pembangunan dalam membina kekuatan. Nama seperti Mus’ab Umair, Usamah Zaid, Ali Abi Talib, dan Bilal Rabah, membuktikan kepada generasi berikutnya bahawa remaja tonggak kekuatan ummah pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat.

Rasulullah SAW berpesan supaya ummah memberikan perhatian kepada mendidik dan menjaga belia dalam sabda Baginda bermaksud: “Aku berpesan kepada kamu supaya memberi perhatian kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka lembut. Allah mengutuskan aku membawa agama hanif lalu pemuda menyokong aku sedangkan orang tua menentang aku.”

Justeru, dalam beramal, pemuda dianjurkan sentiasa mengambil peluang melaksanakan ibadat tanpa perlu bertangguh kerana usaha meningkatkan takwa dalam hidup bukan bermusim. Firman Allah bermaksud: “Dan dirikan oleh kamu sembahyang dan tunaikan zakat, dan apa juga yang kamu dulukan daripada kebajikan untuk diri kamu, tentu kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah.” (Surah al-Baqarah: 110)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga pernah melahirkan perasaan takjubnya kepada pemuda yang sentiasa bersungguh-sungguh menjunjung nilai takwa dalam kehidupannya dan bukan bersikap seperti kebudak-budakan. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat kebudak-budakan.”

Ketika hayatnya, Baginda SAW selalu berpesan kepada belia dan remaja supaya memperlihatkan sifat matang, sesuai dengan kekuatan fizikal sehingga dapat dibezakan dengan golongan tua. Lantaran itu, ketika usia Baginda menginjak ke angka 40, terjadi peristiwa kenabian pada waktu yang dianggap sempurnanya kematangan umur dewasa. Ketika itu, kebanyakan pendukung kuatnya ialah pemuda.

Saidina Abu Bakar, tua tiga tahun daripada umur Baginda, Saidina Umar pula berusia 27 tahun ketika memeluk Islam, Saidina Othman lebih muda daripada Baginda dan Saidina Ali jauh lebih muda daripada sahabat lain.

Begitu juga sahabat yang terkenal sebagai pendamping dakwah yang dibawa Baginda SAW seperti Abdullah Mas’ud, Said Zaid, Abdul Rahman Auf, Bilal dan Musab Umair yang berusia muda. Nama seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, malah Abu Talib yang tidak menerima dakwah Baginda SAW ialah kalangan generasi tua.

Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi, justeru pengiktirafan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong. Benar dan tepat kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah, tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal. Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadah.

Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.

Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.

Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya).”

Oleh itu saya nak tanya anda satu soalan…

“Di mana remaja dalam hal ini?”

Jika anda seorang remaja, luahkan pendapat anda disini. Jika anda seorang bapa, muhasabah diri dan tanya soalan ini kepada anak-anak anda. Tanggungjawab saya, anda dan semua cukup besar sebagai umat Muhammad s.a.w. yakni Umat Akhir Zaman.

Waallahua’lam bis’showab.

Tuesday, August 18, 2009

Kata - kata Hikmah

“Apabila sempurna akal, kurang perkataan”(Saidina Ali Abi Talib)

“Sifat pemarah adalah musuh utama akal”(Saidina Ali Abi Talib)

“Walaubagaimana pun alim seorang itu, dia tidak akan dapat manafaat daripada ilmunya selagi ilmunya tidak berpedoman kepada akal”(Lukmanul Hakim)

“Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuh yang celaka adalah jahil”(Saidina Ali Abi Talib)

“Lebih sedikit orang menggunakan akalnya, lebih baik pula ia berkata-kata”(Saidina Ali Abi Talib)

“Dada orang berakal itu ialah peti rahsianya”(Saidina Ali Abi Talib)

“Akal membentuk budi, membentuk kebudayaan dan menjerumuskan manusia kepada kehancuran”(Hamka)

Akal ilah anugerah Tuhan kepada makhluknya yang dipilih-NYA, iaitu manusia. Akal tidak diberi semata-mata. Ia perlu dituntut”(Hamka)

“Salah satu tugas agama ilah memelihara akal. Memilihara akal ialah dengan jalan menambah ilmu, melatih diri berfikir, merenungkannya”(Hamka)

“Hawa nafsu membawa kesesatandan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Hawa nafsu menyuruh mengelamun, berangan-angan tetapi akal menyuruh menimbang” (Hamka)

“Rahsia kejayaan ialah mengetahui sesuatu yang orang lain tidak tahu”(Aristotle)

“Tuntutlah ilmu seperti mana seorang ibu mencari anak tunggalnya yang hilang”(Hamka)

“Fikirkan tentang dirimu. Jika satu bangsa dah mula berfikir, tidak ada satu perbuatan pun yang boleh menghentikannya”(Voltaire)

Belia Pewaris Kepimpinan

Seperti mana yang kita ketahui para belia pada masa kini banyak terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa ditambah pula dengan konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh nagara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah umat Islam seluruh negara. Para belia yang ditarbiyah memainkan peranan yang amat penting supaya akidah umat Islam akan terus terpelihara. Ini kerana para belia inilah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara seterusnya mencorakkannya menjadi sebuah negara islam yang unggul. Ingatkah lagi kita pada kegemilangan pemerintahan islam suatu masa dahulu di mana islam berkembang di dua pertiga dunia!
Para belia yang ditarbiyah harus memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej pelajar yang ditarbiyah di ipt atau di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, menjaga batas-batas aurat, serta menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar. Selain itu, perkara yang amat perlu dititikberatkan ialah menjaga batas-batas aurat serta pergaulan. Terapkan unsur-unsur pemakaian yang menepati tuntutan syariat islam yang benar kepada sahabat-sahabat kita. Elakkan diri daripada terjebak dalam masalah ‘couple’. Inilah peranan belia yang ditarbiyah untuk menyeru kepada kebaikan dengan contoh teladan serta akhlak yang baik.
Para belia yang ditarbiyah perlu menjadi pendengar yang baik. Suasana di ipt yang memaksa kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia adalah lumrah kehidupan sebenarnya. Oleh itu, kita digalakkan mencari teman yang baik. Walau bagaimanapun, bersilaturrahimlah meramaikan kawan seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Jadilah seseorang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Manfaat yang dimaksudkan mungkin dari segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya. Memetik kata-kata dari sebuah hadis, ’Allah menolong kita selagi mana kita menolong orang lain.’ Apabila ada dalam kalangan sahabat datang kepada kita untuk meluahkan masalahnya bermakna kita telah menjadi seorang sahabat atau individu yang boleh dia percayai. Di sinilah, kita sebagai pelajar yang ditarbiyah harus berperanan untuk cuba menaikkan semangatnya dan membawanya ke jalan tarbiyah. Namun sebelum itu, carilah teman dan jagalah hubungan baik dengan rakan-rakan sebanyak-banyaknya.
Belia yang ditarbiyah perlu menjadi pemimpin, sekurang-kurangnya terhadap dirinya sendiri. Jadilah pemimpin yang berwibawa. Belia yang ditarbiyah seharusnya mampu menjadi seorang pemimpin yang berketrampilan baik dari segi sahsiah dan akademik yang cemerlang di ipt. Jadikan al-quran sebagai teman yang paling akrab. Marilah sejenak kita telusuri rahsia kegemilangan seorang tokoh kegemilangan Islam iaitu Sultan Muhammad al-Fateh. Pernahkah kita bertanya bagaimana sampai al-Fateh mampu menjadi seorang panglima terbaik bagi pasukan tentera terbaik lantas menjadikan hadith Rasulullah 7 abad sebelumnya sebagai realiti bagi dirinya? Kuncinya ialah al-Fateh menyiapkan hidupnya untuk melaksanakan misinya untuk menjadi orang yang disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w. Kalau tidak menjadi panglimanya, sekurang-kurangnya menjadi seorang tentera dari pasukan terbaik sebagai matlamatnya. Sultan Muhammad al-Fateh hanya mempersiapkan dirinya menjadi yang terbaik semampunya. Tapi persiapannya bermula awal, sejak sebelum baligh hingga berjaya menyumbang untuk kemenangan Islam.
Tiada apa yang mustahil bila kita menetapkan matlamat, kemudian mencurahkan segenap kemampuan untuk mencapai matlamat tersebut. Tetapkan target, tanamkan semangat membara, bekalkan hati dengan nurani rabbaniyyah dan seterusnya penuhi diri dengan ilmu dan disiplin ketaatan. Bermula daripada tarbiyah diri sendiri sehingga akhirnya tertegaknya kebenaran di muka bumi ini. Seperti kata seorang mursyid “ tegaklah Islam dalam dirimu, nescaya akan tertegak di negerimu.” Namun harus diingat bahawa tarbiyah hanyalah merupakan satu proses yang tiada akhirnya, iaitu belajar serta mengajarkan. Kitalah yang menggerakkan proses tarbiyah hingga menghasilkan perubahan tidak hanya pada diri sendiri, malah kepada semua yang berhubungan langsung dengan diri kita, sehingga sibghatullah-pencelupan Allah mewarnai ummat di bumi ini dengan nur Islam yang hakiki. Hanya jalan tarbiyah sebagaimana yang dijalani oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabat yang mampu menjadi landasan terbaik bagi membentuk para pelajar menjadi muslimin dan muslimah sejati.
Ingatlah bahawa Umar al Khattab RA pernah berkata kepada sahabatnya: “Impikanlah! ….”Aku mengimpikan negeri ini dipenuhi RIJAL seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim (hamba Abu Huzaifah). Lalu aku meminta tolong dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah.” Inilah sebenarnya modal untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda yang sanggup meletakkan hidupnya demi Islam jauh lebih berharga dari dunia dan seisinya. Belia yang ditarbiyah merupakan modal tak ternilai untuk kejayaan pembentukan khairu ummat demi kegemilangan Islam sejagat. ‘Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyeru yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah’-(QS3:110). Segalanya bermula daripada diri individu yang ditarbiyah. “Generasi muda ialah rahsia kehidupan ummat dan sumber mata air kebangkitannya. Sejarah ummat ialah sejarah para tokoh yang dilahirkannya, yang memiliki aqliyah yang kuat dan ruh yang membara. Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh – tokoh yang memenuhi syarat rijal yang sebenarnya…” (Al Banna: Hal Nahnu Qaumun Amaliyun)

Selamat Berpuasa

Assalamualaikum w.b.t.

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SAW kerana berkat usaha, kerja keras, komitmen GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan telah sekali lagi menerima bantuan kewangan memperkasakan persatuan belia sebanyak RM 3,000.00 daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Peruntukan tersebut insyaallah akan digunakan untuk mengadakan "Kursus Asas Kayak".

Bersempena Bulan Ramadan yang akan muncul tidak lama lagi , Saya bersama Jawatan Kuasa GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh ahli belia 4B. Semoga bulan Ramadan tahun ini akan kita sambut dengan melipatgandakan ibadah kepada Allah Yang Maha Esa. Selamat Berpuasa.

Daripada Pengerusi & AJK GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan

Thursday, August 13, 2009

Tips Kesihatan - Mengatasi "Stress"

Stres adalah respon tubuh seseorang dalam menghadapi pelbagai tuntutan dalam kehidupan. Tuntutan-tuntutan tersebut mungkin merupa-kan perkara-perkara yang datang dari luar (misalnya: surat pinjaman bank yang tertunggak, teman, pekerjaan, atau hubungan dengan pasa-ngan), atau mungkin juga datang dari fikiran sendiri (misalnya: bagaimana penilaian terhadap diri sendiri). Stres seringkali dicap sebagai sesuatu perkara yang buruk. Namun sesungguhnya se-tiap orang memerlukan sedikit tekanan agar mereka memiliki hidup yang lebih baik.

Teknik atasi stress yang sihat, antara lain:

1. Tidur Sejenak

Tidur sejenak selama 30 - 45 minit akan menyegarkan tubuh kembali. Orang-orang ternama yang memanfaatkan tidur siang untuk menangani stres adalah John F. Kennedy, Thomas Edison dan Salvador Dali.

2. Pengurutan

Anda boleh mengunjungi seorang pakar urut profesional ataupun meminta pasangan atau seorang sahabat untuk mengurut otot-otot leher dan bahu anda.

3. Mengekspresikan diri secara artistik

Jadilah orang yang kreatif dan alihkan energi anda secara positif. Anda boleh cuba untuk belajar akting, atau memainkan alat muzik, mengambil gambar, melukis, menulis puisi ataupun menyanyi. Muzik adalah media pereda stres yang sangat baik. Memainkan alat muzik atau cuma sekadar mendengar muzik sangat membantu untuk melegakan stres.

4. Kerap ketawa

Cara ini bukan rahsia lagi. Tertawa boleh menyebabkan stres yang ada hadapi menjadi lebih ringan. Sentiasa tunjukkan ekspresi yang menyenangkan diwajah anda.

5. Bersikap lembut terhadap diri sendiri

Sama ada disedari atau tidak, sebenarnya kita secara terus-menerus berbicara kepada diri kita sendiri. Berbicara kepada diri sendiri menunjukkan perilaku dan citra diri. Anda boleh mengubah kedua-dua perkara tersebut melalui pembicaraan yang positif kepada diri anda sendiri. Malahan pembicaraan tersebut boleh menyebabkan perubahan terhadap proses kimiawi tubuh yang menguntungkan, dengan cara mengaktifkan sistem saraf yang menimbulkan relaksasi. Sebaliknya, pembicaraan yang negatif kepada diri sendiri akan menyebabkan rangsangan terhadap sistem saraf simpatik dan menyebabkan tubuh berasa kelelahan.

Gelombang Ke 3 Internet

Penghuni dunia terus menjadi saksi bagaimana teknologi internet mampu mengubah gaya hidup mereka. Ia melibatkan cara mereka bekerja, berhibur, bermain, berkomunikasi dan bersosial. Suatu ketika teknologi ini berada di puncak lalu menyaksikan banyak syarikat tersungkur dan segelintir sahaja yang mampu bertahan.

Mungkin betul, hanya “pemenang saja yang terselamat”. Buktinya, nama gah berkaitan teknologi ini seperti Google, Yahoo!, dan Amazon berjaya bertahan malah semakin kukuh sehingga ke hari. Bilangannya, sudah boleh dikira dengan jari, sedangkan yang pernah terlibat cukup banyak. Jika bukan ratusan mungkin ribuan..;)

Bagaimana dengan syarikat internet di negara ini? Jika ada yang terselamat, bolehkah dikesan jejaknya atau sudah menjadi sejarah. Berdasarkan risikan rambang, masih ada syarikat tempatan yang masih bertahan dan ada yang diberikan nafas baru. Apa pun tahniah buat mereka kerana gigih berdepan gelombang seterusnya.

Gelombang pertama yang diberi jolokan “dot com” sudah lama berlalu. Apa yang sedang memuncak ketika ini dianggap gelombang kedua atau diwartakan kepada orang ramai sebagai Web 2.0. Tahap gelombang ini tidak kurang hebatnya, malah tampak lebih interaktif kerana melibatkan setiap individu yanggemar bersosial.

Jangan salah anggap. Kegemaran bersosial melalui internet bukan berniat serong semata. Malah ramai rasa gembira dengan kehebatan kemudahan mutakhir ini. Mereka boleh saling berhubung sesama sendiri, di kalangan ahli keluarga, rakan bahkan orang asing tanpa mengira batas sempadan. Jaringan ini juga digelar ‘jaringan sosial’.

Seperti gelombang siber pertama, gelombang kedua yang melibatkan jaringan sosial ini turut mencetuskan ‘perlumbaan’. Bukan sahaja syarikat internet yang berlumba mengaut keuntungan malah pengguna internet itu sendiri berlumba menggunakan kemudahan yang ditawarkannya. Seolah-olah saling perlumemerlukan.

Maka tertonjolah ‘jenama baru’ bernilai bilion ringgit (RM) seperti YouTube, MySpace, Facebook, Flickr, Blogger dan Freindster. Sebahagiannya sudah dipancing nama besar sebelum ini seperti Google dan Yahoo!. Bukankah syarikat ini KAYA kerana minat dan hobi penghuni bumi yang gemar bersosial secara jarak jauh?

Benar, jaringan yang mampu diwujudkan melalui gelombang kedua ini boleh menjangkau jarak yang jauh. Tetapi belum ramai yang dapat menjangkakan samada gelombang siber ketiga masih jauh atau kian menghampiri. Kini pihak yang terlibat sedang mencetuskan gelombang ketiga (Web 3.0) pula. Anda nantikan saja gegarannya…yeye!