Wednesday, September 2, 2009

Bagaimana Cara Nak Pikat Remaja Pergi Ke Masjid

Satu artikel dan saranan daripada PM kita yang dimuatkan di dada akhbar pagi ini. Jika anda belum membacanya inilah intipati berita tersebut.

PEKAN 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ahli jawatankuasa masjid dan surau mencari jalan untuk menarik golongan muda supaya terus mengimarahkan masjid selepas bulan Ramadan.

Menurut Perdana Menteri, suasana masjid dan surau yang sesak dipenuhi oleh para jemaah termasuk golongan muda sepanjang bulan puasa seharusnya dikekalkan untuk melahirkan insan beriman dan bertakwa.

“Harapan saya semoga rumah Allah ini dijadikan tempat beribadat untuk semua golongan. Kita tak mahu lihat dalam bulan Ramadan sahaja, rumah ibadat penuh sesak dengan mereka yang berpusu-pusu ke masjid untuk solat dan bertarawih.

“Terlintas pada fikiran saya, adakah keadaan ini dapat kita pertahankan dalam bulan-bulan lain.

“Adalah penting untuk kita ambil langkah supaya golongan muda berjinak-jinak dengan masjid. Kalau tidak, masjid sesak pada bulan Ramadan, tetapi sepi pada bulan-bulan lain.

“Jawatankuasa masjid dan surau boleh fikirkan bagaimana untuk menarik minat golongan muda lebih kerap mengunjungi masjid selepas Ramadan,” kata beliau.

Kita semua kena fikirkan akan perkara ini, bukan sahaja AJK Surau, Imam-imam atau Ustaz-ustaz tetapi seluruh umat harus memikirkan akan perkara yang penting ini. Kerana apa ianya penting? Kerana sumbangan belia bertakwa penting bantu kejayaan, pencapaian ummah sepanjang zaman. Janganlah kita hanya aktif beribadat pada bulan Ramadhan sahaja. Agama Islam bukanlah agama yang bermusim macam musim EPL. Amal dan Ibadah adalah berterusan hingga ke hari kiamat.

GENERASI muda, remaja atau belia ialah kelompok yang aktif dalam semua perkara. Mereka suka bertanya, mencuba, tidak serik dengan peristiwa, cenderung lasak, sukakan cabaran, gemar memperaga diri, sukakan hiburan, mahu berkawan malah suka bercinta.

Inilah perkembangan naluri dan fitrah generasi muda dalam proses membentuk diri menuju kematangan dan masuk ke alam dewasa. Sebagai pemuda Islam, tidak salah bakat yang baik dikembangkan.

Potensi yang dimiliki boleh membangunkan diri, masyarakat dan negara, tetapi ia juga boleh merosakkan diri, meruntuhkan masyarakat dan negara. Isu utama ialah bagaimana potensi itu digilap dan disuburkan secara fitrah serta bakat diguna secara bermanfaat.

Islam meletakkan generasi muda pada kedudukan mulia dan hal ini berbeza berbanding pada zaman sebelum kedatangan Islam. Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya, tetapi sejurus selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab.

Corak remaja atau belia pada zaman itu terbentuk melalui kesan tarbiah rohaniah dan jasmaniah yang dipimpin melalui pendekatan wahyu iaitu melalui cara hidup Islam. Budaya atau cara hidup bersandarkan reda Allah wujud pada diri pemuda ketika itu.

Ini menyebabkan mereka tidak saja memiliki pedoman dan dorongan terbaik untuk memandu jalan hidup, tetapi budaya reda Allah itu membentuk kedewasaan remaja yang akhirnya menjadikan mereka taat serta patuh terhadap perintah Allah dan sentiasa mengelak melakukan apa dilarang.

Al-Quran dan al-sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah kepada mereka petunjuk.” (Surah al-Kahfi: 13)

Allah juga memasukkan belia dan remaja yang menghabiskan masa mengabdikan diri kepada Allah dalam kegiatan hidupnya sebagai manusia yang dimasukkan ke dalam golongan mendapat perlindungan lembayung payung Allah di Padang Mahsyar kelak.

Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tujuh golongan manusia yang akan dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya, pemuda yang hidup dalam keadaan mengabdikan diri kepada Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua untuk menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan antaranya mempunyai banyak masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, mempunyai tenaga dan kekuatan fizikal, mempunyai kecerdasan akal fikiran, mempunyai daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain.

Pada ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati.”

Pemuda pada awal Islam menjadi tonggak dakwah dan ejen pembangunan dalam membina kekuatan. Nama seperti Mus’ab Umair, Usamah Zaid, Ali Abi Talib, dan Bilal Rabah, membuktikan kepada generasi berikutnya bahawa remaja tonggak kekuatan ummah pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat.

Rasulullah SAW berpesan supaya ummah memberikan perhatian kepada mendidik dan menjaga belia dalam sabda Baginda bermaksud: “Aku berpesan kepada kamu supaya memberi perhatian kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka lembut. Allah mengutuskan aku membawa agama hanif lalu pemuda menyokong aku sedangkan orang tua menentang aku.”

Justeru, dalam beramal, pemuda dianjurkan sentiasa mengambil peluang melaksanakan ibadat tanpa perlu bertangguh kerana usaha meningkatkan takwa dalam hidup bukan bermusim. Firman Allah bermaksud: “Dan dirikan oleh kamu sembahyang dan tunaikan zakat, dan apa juga yang kamu dulukan daripada kebajikan untuk diri kamu, tentu kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah.” (Surah al-Baqarah: 110)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak berganjak langkah kaki seseorang hamba pada hari pembalasan kelak sehingga mereka ditanya empat soalan iaitu umurnya ke mana diperuntukkan, usia muda ke mana dihabiskan, hartanya daripada diperoleh dan ke mana dibelanjakan dan ilmunya apakah diamalkannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga pernah melahirkan perasaan takjubnya kepada pemuda yang sentiasa bersungguh-sungguh menjunjung nilai takwa dalam kehidupannya dan bukan bersikap seperti kebudak-budakan. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah sangat kagum kepada pemuda yang tidak memiliki sifat kebudak-budakan.”

Ketika hayatnya, Baginda SAW selalu berpesan kepada belia dan remaja supaya memperlihatkan sifat matang, sesuai dengan kekuatan fizikal sehingga dapat dibezakan dengan golongan tua. Lantaran itu, ketika usia Baginda menginjak ke angka 40, terjadi peristiwa kenabian pada waktu yang dianggap sempurnanya kematangan umur dewasa. Ketika itu, kebanyakan pendukung kuatnya ialah pemuda.

Saidina Abu Bakar, tua tiga tahun daripada umur Baginda, Saidina Umar pula berusia 27 tahun ketika memeluk Islam, Saidina Othman lebih muda daripada Baginda dan Saidina Ali jauh lebih muda daripada sahabat lain.

Begitu juga sahabat yang terkenal sebagai pendamping dakwah yang dibawa Baginda SAW seperti Abdullah Mas’ud, Said Zaid, Abdul Rahman Auf, Bilal dan Musab Umair yang berusia muda. Nama seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian, malah Abu Talib yang tidak menerima dakwah Baginda SAW ialah kalangan generasi tua.

Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi, justeru pengiktirafan ini mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong. Benar dan tepat kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah, tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal. Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadah.

Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah yang dikenali sebagai masjid ataupun surau. Ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan, iaitu insan yang berusaha membentuk dirinya menjadi hamba Allah yang terbaik sepanjang hidup dengan amalan-amalan yang bersifat peribadatan hanya kepada-Nya.

Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah. Justeru terdapat sebuah hadis Nabi s.a.w. menegaskan bahawa rumah Allah menjanjikan bukan sekadar ketenangan, malah beberapa nikmat lain sebagai dorongan berbuat kebaikan.

Hal ini telah disebut menerusi hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah maksudnya: “Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah daripada rumah-rumah Allah (masjid/surau), membaca kitab Allah (al-Quran) dan berdiskusi mengenainya sesama mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, mereka diselubungi dengan rahmat Allah, dikelilingi dengan para Malaikat (menulis segala kebaikan mereka) dan Allah akan sentiasa mengingati mereka (kerana mereka juga mengingati-Nya).”

Oleh itu saya nak tanya anda satu soalan…

“Di mana remaja dalam hal ini?”

Jika anda seorang remaja, luahkan pendapat anda disini. Jika anda seorang bapa, muhasabah diri dan tanya soalan ini kepada anak-anak anda. Tanggungjawab saya, anda dan semua cukup besar sebagai umat Muhammad s.a.w. yakni Umat Akhir Zaman.

Waallahua’lam bis’showab.

Tuesday, August 18, 2009

Kata - kata Hikmah

“Apabila sempurna akal, kurang perkataan”(Saidina Ali Abi Talib)

“Sifat pemarah adalah musuh utama akal”(Saidina Ali Abi Talib)

“Walaubagaimana pun alim seorang itu, dia tidak akan dapat manafaat daripada ilmunya selagi ilmunya tidak berpedoman kepada akal”(Lukmanul Hakim)

“Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuh yang celaka adalah jahil”(Saidina Ali Abi Talib)

“Lebih sedikit orang menggunakan akalnya, lebih baik pula ia berkata-kata”(Saidina Ali Abi Talib)

“Dada orang berakal itu ialah peti rahsianya”(Saidina Ali Abi Talib)

“Akal membentuk budi, membentuk kebudayaan dan menjerumuskan manusia kepada kehancuran”(Hamka)

Akal ilah anugerah Tuhan kepada makhluknya yang dipilih-NYA, iaitu manusia. Akal tidak diberi semata-mata. Ia perlu dituntut”(Hamka)

“Salah satu tugas agama ilah memelihara akal. Memilihara akal ialah dengan jalan menambah ilmu, melatih diri berfikir, merenungkannya”(Hamka)

“Hawa nafsu membawa kesesatandan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan. Hawa nafsu menyuruh mengelamun, berangan-angan tetapi akal menyuruh menimbang” (Hamka)

“Rahsia kejayaan ialah mengetahui sesuatu yang orang lain tidak tahu”(Aristotle)

“Tuntutlah ilmu seperti mana seorang ibu mencari anak tunggalnya yang hilang”(Hamka)

“Fikirkan tentang dirimu. Jika satu bangsa dah mula berfikir, tidak ada satu perbuatan pun yang boleh menghentikannya”(Voltaire)

Belia Pewaris Kepimpinan

Seperti mana yang kita ketahui para belia pada masa kini banyak terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa ditambah pula dengan konflik pergolakan antarabangsa yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh nagara. Pergolakan antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah umat Islam seluruh negara. Para belia yang ditarbiyah memainkan peranan yang amat penting supaya akidah umat Islam akan terus terpelihara. Ini kerana para belia inilah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara seterusnya mencorakkannya menjadi sebuah negara islam yang unggul. Ingatkah lagi kita pada kegemilangan pemerintahan islam suatu masa dahulu di mana islam berkembang di dua pertiga dunia!
Para belia yang ditarbiyah harus memainkan peranan penting dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej pelajar yang ditarbiyah di ipt atau di mana-mana sahaja pada bila-bila masa. Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, menjaga batas-batas aurat, serta menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita yang sebenar. Selain itu, perkara yang amat perlu dititikberatkan ialah menjaga batas-batas aurat serta pergaulan. Terapkan unsur-unsur pemakaian yang menepati tuntutan syariat islam yang benar kepada sahabat-sahabat kita. Elakkan diri daripada terjebak dalam masalah ‘couple’. Inilah peranan belia yang ditarbiyah untuk menyeru kepada kebaikan dengan contoh teladan serta akhlak yang baik.
Para belia yang ditarbiyah perlu menjadi pendengar yang baik. Suasana di ipt yang memaksa kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia adalah lumrah kehidupan sebenarnya. Oleh itu, kita digalakkan mencari teman yang baik. Walau bagaimanapun, bersilaturrahimlah meramaikan kawan seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi musuh jangan sesekali dicari.’ Jadilah seseorang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Manfaat yang dimaksudkan mungkin dari segi dorongan, nasihat, ilmu dan sebagainya. Memetik kata-kata dari sebuah hadis, ’Allah menolong kita selagi mana kita menolong orang lain.’ Apabila ada dalam kalangan sahabat datang kepada kita untuk meluahkan masalahnya bermakna kita telah menjadi seorang sahabat atau individu yang boleh dia percayai. Di sinilah, kita sebagai pelajar yang ditarbiyah harus berperanan untuk cuba menaikkan semangatnya dan membawanya ke jalan tarbiyah. Namun sebelum itu, carilah teman dan jagalah hubungan baik dengan rakan-rakan sebanyak-banyaknya.
Belia yang ditarbiyah perlu menjadi pemimpin, sekurang-kurangnya terhadap dirinya sendiri. Jadilah pemimpin yang berwibawa. Belia yang ditarbiyah seharusnya mampu menjadi seorang pemimpin yang berketrampilan baik dari segi sahsiah dan akademik yang cemerlang di ipt. Jadikan al-quran sebagai teman yang paling akrab. Marilah sejenak kita telusuri rahsia kegemilangan seorang tokoh kegemilangan Islam iaitu Sultan Muhammad al-Fateh. Pernahkah kita bertanya bagaimana sampai al-Fateh mampu menjadi seorang panglima terbaik bagi pasukan tentera terbaik lantas menjadikan hadith Rasulullah 7 abad sebelumnya sebagai realiti bagi dirinya? Kuncinya ialah al-Fateh menyiapkan hidupnya untuk melaksanakan misinya untuk menjadi orang yang disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w. Kalau tidak menjadi panglimanya, sekurang-kurangnya menjadi seorang tentera dari pasukan terbaik sebagai matlamatnya. Sultan Muhammad al-Fateh hanya mempersiapkan dirinya menjadi yang terbaik semampunya. Tapi persiapannya bermula awal, sejak sebelum baligh hingga berjaya menyumbang untuk kemenangan Islam.
Tiada apa yang mustahil bila kita menetapkan matlamat, kemudian mencurahkan segenap kemampuan untuk mencapai matlamat tersebut. Tetapkan target, tanamkan semangat membara, bekalkan hati dengan nurani rabbaniyyah dan seterusnya penuhi diri dengan ilmu dan disiplin ketaatan. Bermula daripada tarbiyah diri sendiri sehingga akhirnya tertegaknya kebenaran di muka bumi ini. Seperti kata seorang mursyid “ tegaklah Islam dalam dirimu, nescaya akan tertegak di negerimu.” Namun harus diingat bahawa tarbiyah hanyalah merupakan satu proses yang tiada akhirnya, iaitu belajar serta mengajarkan. Kitalah yang menggerakkan proses tarbiyah hingga menghasilkan perubahan tidak hanya pada diri sendiri, malah kepada semua yang berhubungan langsung dengan diri kita, sehingga sibghatullah-pencelupan Allah mewarnai ummat di bumi ini dengan nur Islam yang hakiki. Hanya jalan tarbiyah sebagaimana yang dijalani oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabat yang mampu menjadi landasan terbaik bagi membentuk para pelajar menjadi muslimin dan muslimah sejati.
Ingatlah bahawa Umar al Khattab RA pernah berkata kepada sahabatnya: “Impikanlah! ….”Aku mengimpikan negeri ini dipenuhi RIJAL seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim (hamba Abu Huzaifah). Lalu aku meminta tolong dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah.” Inilah sebenarnya modal untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda yang sanggup meletakkan hidupnya demi Islam jauh lebih berharga dari dunia dan seisinya. Belia yang ditarbiyah merupakan modal tak ternilai untuk kejayaan pembentukan khairu ummat demi kegemilangan Islam sejagat. ‘Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyeru yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah’-(QS3:110). Segalanya bermula daripada diri individu yang ditarbiyah. “Generasi muda ialah rahsia kehidupan ummat dan sumber mata air kebangkitannya. Sejarah ummat ialah sejarah para tokoh yang dilahirkannya, yang memiliki aqliyah yang kuat dan ruh yang membara. Kuat lemahnya umat sesungguhnya diukur dari sejauh mana kemampuan ‘rahim’ umat itu melahirkan tokoh – tokoh yang memenuhi syarat rijal yang sebenarnya…” (Al Banna: Hal Nahnu Qaumun Amaliyun)

Selamat Berpuasa

Assalamualaikum w.b.t.

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SAW kerana berkat usaha, kerja keras, komitmen GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan telah sekali lagi menerima bantuan kewangan memperkasakan persatuan belia sebanyak RM 3,000.00 daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Peruntukan tersebut insyaallah akan digunakan untuk mengadakan "Kursus Asas Kayak".

Bersempena Bulan Ramadan yang akan muncul tidak lama lagi , Saya bersama Jawatan Kuasa GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan ingin mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh ahli belia 4B. Semoga bulan Ramadan tahun ini akan kita sambut dengan melipatgandakan ibadah kepada Allah Yang Maha Esa. Selamat Berpuasa.

Daripada Pengerusi & AJK GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan

Thursday, August 13, 2009

Tips Kesihatan - Mengatasi "Stress"

Stres adalah respon tubuh seseorang dalam menghadapi pelbagai tuntutan dalam kehidupan. Tuntutan-tuntutan tersebut mungkin merupa-kan perkara-perkara yang datang dari luar (misalnya: surat pinjaman bank yang tertunggak, teman, pekerjaan, atau hubungan dengan pasa-ngan), atau mungkin juga datang dari fikiran sendiri (misalnya: bagaimana penilaian terhadap diri sendiri). Stres seringkali dicap sebagai sesuatu perkara yang buruk. Namun sesungguhnya se-tiap orang memerlukan sedikit tekanan agar mereka memiliki hidup yang lebih baik.

Teknik atasi stress yang sihat, antara lain:

1. Tidur Sejenak

Tidur sejenak selama 30 - 45 minit akan menyegarkan tubuh kembali. Orang-orang ternama yang memanfaatkan tidur siang untuk menangani stres adalah John F. Kennedy, Thomas Edison dan Salvador Dali.

2. Pengurutan

Anda boleh mengunjungi seorang pakar urut profesional ataupun meminta pasangan atau seorang sahabat untuk mengurut otot-otot leher dan bahu anda.

3. Mengekspresikan diri secara artistik

Jadilah orang yang kreatif dan alihkan energi anda secara positif. Anda boleh cuba untuk belajar akting, atau memainkan alat muzik, mengambil gambar, melukis, menulis puisi ataupun menyanyi. Muzik adalah media pereda stres yang sangat baik. Memainkan alat muzik atau cuma sekadar mendengar muzik sangat membantu untuk melegakan stres.

4. Kerap ketawa

Cara ini bukan rahsia lagi. Tertawa boleh menyebabkan stres yang ada hadapi menjadi lebih ringan. Sentiasa tunjukkan ekspresi yang menyenangkan diwajah anda.

5. Bersikap lembut terhadap diri sendiri

Sama ada disedari atau tidak, sebenarnya kita secara terus-menerus berbicara kepada diri kita sendiri. Berbicara kepada diri sendiri menunjukkan perilaku dan citra diri. Anda boleh mengubah kedua-dua perkara tersebut melalui pembicaraan yang positif kepada diri anda sendiri. Malahan pembicaraan tersebut boleh menyebabkan perubahan terhadap proses kimiawi tubuh yang menguntungkan, dengan cara mengaktifkan sistem saraf yang menimbulkan relaksasi. Sebaliknya, pembicaraan yang negatif kepada diri sendiri akan menyebabkan rangsangan terhadap sistem saraf simpatik dan menyebabkan tubuh berasa kelelahan.

Gelombang Ke 3 Internet

Penghuni dunia terus menjadi saksi bagaimana teknologi internet mampu mengubah gaya hidup mereka. Ia melibatkan cara mereka bekerja, berhibur, bermain, berkomunikasi dan bersosial. Suatu ketika teknologi ini berada di puncak lalu menyaksikan banyak syarikat tersungkur dan segelintir sahaja yang mampu bertahan.

Mungkin betul, hanya “pemenang saja yang terselamat”. Buktinya, nama gah berkaitan teknologi ini seperti Google, Yahoo!, dan Amazon berjaya bertahan malah semakin kukuh sehingga ke hari. Bilangannya, sudah boleh dikira dengan jari, sedangkan yang pernah terlibat cukup banyak. Jika bukan ratusan mungkin ribuan..;)

Bagaimana dengan syarikat internet di negara ini? Jika ada yang terselamat, bolehkah dikesan jejaknya atau sudah menjadi sejarah. Berdasarkan risikan rambang, masih ada syarikat tempatan yang masih bertahan dan ada yang diberikan nafas baru. Apa pun tahniah buat mereka kerana gigih berdepan gelombang seterusnya.

Gelombang pertama yang diberi jolokan “dot com” sudah lama berlalu. Apa yang sedang memuncak ketika ini dianggap gelombang kedua atau diwartakan kepada orang ramai sebagai Web 2.0. Tahap gelombang ini tidak kurang hebatnya, malah tampak lebih interaktif kerana melibatkan setiap individu yanggemar bersosial.

Jangan salah anggap. Kegemaran bersosial melalui internet bukan berniat serong semata. Malah ramai rasa gembira dengan kehebatan kemudahan mutakhir ini. Mereka boleh saling berhubung sesama sendiri, di kalangan ahli keluarga, rakan bahkan orang asing tanpa mengira batas sempadan. Jaringan ini juga digelar ‘jaringan sosial’.

Seperti gelombang siber pertama, gelombang kedua yang melibatkan jaringan sosial ini turut mencetuskan ‘perlumbaan’. Bukan sahaja syarikat internet yang berlumba mengaut keuntungan malah pengguna internet itu sendiri berlumba menggunakan kemudahan yang ditawarkannya. Seolah-olah saling perlumemerlukan.

Maka tertonjolah ‘jenama baru’ bernilai bilion ringgit (RM) seperti YouTube, MySpace, Facebook, Flickr, Blogger dan Freindster. Sebahagiannya sudah dipancing nama besar sebelum ini seperti Google dan Yahoo!. Bukankah syarikat ini KAYA kerana minat dan hobi penghuni bumi yang gemar bersosial secara jarak jauh?

Benar, jaringan yang mampu diwujudkan melalui gelombang kedua ini boleh menjangkau jarak yang jauh. Tetapi belum ramai yang dapat menjangkakan samada gelombang siber ketiga masih jauh atau kian menghampiri. Kini pihak yang terlibat sedang mencetuskan gelombang ketiga (Web 3.0) pula. Anda nantikan saja gegarannya…yeye!

Fakta Mengenai Selsema Babi

Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai wabak Influenza yang cukup popular sekarang, tidak lain dan tidak bukan, wabak selesema Babi atau Influenza A H1N1.

Kita semua mestilah prihatin dan setidak-tidaknya mengambil tahu mengenai perkara asas tentang wabak.

Adalah amat malang sekiranya kita dijangkiti wabak ini, dek kerana kurangnya maklumat yang kita ada dan dek kerana kejahilan kita sendiri.

Jangalah tunggu terhantu dulu baru nak terngadah. Bukankah ‘Mencegah itu lebih baik daripada merawat’? “Prevention is better than cure!”

Bacalah artikel mengenai fakta Wabak Influenza A H1N1 ini supaya and a tidak dijangkiti hanya kerana kejahilan anda mengenainya.

Apa itu H1N1?
Ia adalah sejenia Viral Novel Influenza type A H1N1. Ianya berasal dari Virus Avian Flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti Babi @ Khinzir dan telah bergabung dengan Swine Flu (yang sepatutnya hanya menjangkiti ternakan babi sahaja) dan telah bertukar atau evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam ‘host’ yg lebih tinggi di dalam rantaian makanan @ manusia. Dan semasa di dalam badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi ‘air born’ (terbang bebas di udara) dan menjangkit dari manusia kepada manusia.

Jangka hayat virus
Oleh kerana ia adalah viurs yang air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. Jika selepas tempoh tersebut ia tidak mendapat perumah @ host( badan manusia) ia akan mati.

Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan ventilasi udara atau ‘air ventilation’ yang baik, akan ‘bersih’ dari virus tersebut.

Apa yg perlu tahu ?
Sebenarnya telah terdapat outbrake di US, sebelum terjadinya outbrake di Mexico. Tetapi ianya tidak dilaporkan kepada WHO. Kemungkinan outbrake ini telah dikesan tetapi US mahu ‘baling batu sembunyi tangan’ lalu tercetus la outbrake di Mexico kemudiannya.

Virologi virus H1N1 incubation period yang singkat pada purata 2 hari dengan julat 1 - 4 hari, membolehkan ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkit pesakit.

Pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkit paling cepat, dan selewat2nya hari ke-4. H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kepada pesakit yang berisiko, ia dapat membunuh. Jika pesakit adalah seorang yang normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk-batuk.

Cara serangan
Virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan. Virus ini akan menyerang sistem pernafasan ( seperti selsema burung dan SARS) pada peringkat awalnya, namun jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru-paru dan boleh menyebabkan kematian akibat ‘lung collapse’ membuatkan ia amat merbahaya kepada golongan yang berisiko tinggi.

Siapa yang berisiko

1. Orang yang ada masaalah ‘obesiti’ @ gemok

2. Perempuan yang mengandung

3. Orang yang ada lelah atau asma

4. Orang yang bermasalah dengan sistem imunisasi ( menjalani ‘operation yg besar’, kanak-kanak yang belum cukup suntikan imunisasi, golongan yang rendah tahap imuniti eg. HIV dan sebagainya)

* Kematian yang telah dilaporkan terdiri daripada golongan yang dinyatakan di atas

Simptom2

· Hari 1 - Rasa kurang sihat, tak bermaya

· Hari 2 - Selsema, batuk dan demam yang kekal ( demam tidak turun walaupun telah makan ubat demam)

· Hari 3 - Rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas

· Hari 4 - Sakit dada yang teruk (sila jumpa doktor dengan segera)

· Hari 5 dan seterusnya - Berlakunya komplikasi ‘lung collapse’ @ koma

Langkah2 kawalan

1. Golongan yang berisiko, elakkan daripada kesesakan ( kawasan yang padat dengan orang ramai)

2. Menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dengan betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran

3. Elakkan diri jika terdapat ‘orang batuk, bersin dan kurang sihat’

4. Jika kurang sihat, elakan diri dari beraktiviti (sosial dan berkumpulan)

5. Jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jangan hadirkan diri di kawasan orang ramai. Jika terpaksa, pakai ‘mask’ (’mask’ yang mempunyai sekurang-kurangnya 3 lapisan)

6. Untuk orang yang sihat, elakkan dari kawasan yang padat.

7. Jika ada tanda-tanda simptom diatas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan

8. Jika sihat, jangan ke hospital atau klinik untuk ‘checkup’ kerana di kawasan tersebut mungkin ada banyak virus yang tersebar

9. Tak perlu ambil anti-viral @ apa-apa ubat Influenza! Jika sihat, tetapi ‘gatal’ juga nak makan anti-viral, akan mengakibatkan resistan kepada vaksin @ ubat-ubat untuk merawat jika terkena jangkitan nanti. Ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yang telah mengambil ubat-ubat tersebut terlebih awal.

10. Vaksin hanya akan ‘wujud’ seawal-awalnya pada oktober tetapi ianya hanya untuk pertubuhan dan badan-badan ‘frontliner’ atau yang berkenaan sahaja. Untuk awam akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 2010.

11. Untuk makluman, ujian pemeriksaan Influenza hanya dijalankan di 2 makmal sahaja di malaysia. Pemeriksaan ini mengambil masa 6 jam untuk dijalankan kepada 1 batch sample. Jika ada mana-mana klinik menyatakan mereka boleh jalankan ujian, itu tidak betul. Tak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.

12. Tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi amat perlu untuk kita sama-sama menghadapi outbreak ini.

Sama2lah kita berdoa kepada ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu. Amin.

Semua maklumat ini dicatatkan dari taklimat mengenai H1N1 oleh pengarah kawalan penyakit berjangkit dari Kementerian Kesihatan Malaysia di Hotel Pan Pasific KLIA pada 01.08.2009.

Petua Motivasi Kerja : Mulakan dengan Ceria

Saya suka benar membaca tulisan-tulisan yang seperti dibawah ini. Terima kasih kepada Lin Razlyn kerana sudi berkongsi artikel menarik ini.

Marilah kita bersama-sama menghayati pesanan Dr Fadzilah Kamsah ini sebagai renungan diri saya sendiri & saudara/i sekalian :

“Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira & ceria. Ada datang dengan perasaan “biasa” dan ada datang dengan perasaan serba tak kena .”

Ingatlah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan “biasa” saja, Maka hasilnya juga adalah “biasa” saja. Manakala sesiapa yang datang dengan ceria, maka hasilnya akan jadi lebih daripada biasa ataupun luar biasa.

Justeru, bekerja la dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita.

Semoga hasil itu akan mendapat keberkatan dari ALLAH. Amin.

Mari kita renung-renungkan perkara ini ;

1. Ada antara kita datang ke pejabat hanya memenuhi tanggungjawab ‘DATANG BEKERJA’ saja, tetapi malangnya, hasil yang dapat, macam kita ‘ TAK DATANG’ kerja langsung.

2. Ada kala kita rasa kita BUSY giler, tapi rupa-rupanya kita jer yang buat ‘KELAM KABUT’.

3. Adakala kita rasa kita PERIHATIN , tapi rupanya kita BUSY BODY.

4. Adakala kita rasa kita OPEN MINDED and OUTSPOKEN tapi rupanya kita PERASAN BAGUS.

5. Adakala kita rasa kita berpemikiran KRITIS , rupanya kita hanya suka MENGKRITIK yang buat kecoh tak tentu pasal.

6. Adakala kita rasa kita ingin menjadi LEBIH MESRA tapi rupanya kita hanya nak MENGADA-NGADA .

7. Adakala kita suka bertanya ‘KENAPA DIA NI MCM TAKDE KEJE’, tapi adalah lebih baik kita tanya diri sendiri ‘APA LAGI KEJE YANG AKU BOLEH BUAT ?’

8. Adakala kita rasa kita ni pekerja yang SEMPURNA,BAIK DAN BERDEDIKASI tapi cuba tengok dalam-dalam,selagi hati kita berdengki, jatuhkan reputasi sesama rakan sekerja (report kat bos kawan kita tak bagus dari kita) dan tak amanah (mencuri dan tak siapkan kerja),kita sebenarnya patut terima hakikat betapa kita lebih teruk dari anggapan kita itu sendiri.

Pejam mata dan renung lah diri, kalau kita perlu melakukan ANJAKAN PARADIGMA , maka lakukanlah segera…tapi manusia tetap manusia..
Sukar untuk berubah kerana kita selalu beranggapan kita lebih baik… adakah dengan merasakan itu kita sememangnya terbaik?

Maka untuk itu , mari kita mula senyum, ceria, mesra sesama kita dan tingkat kerjasama dalam kerja, Tak rugi kita semai rasa ‘kekeluargaan’ dalam tugasan … kalau kita kurang kerja, cari la kerja membantu teman-teman yang lain.

Tak dapat gaji lebih pun tak apa sebab pahala dapat.. kita withdraw kat akhirat nanti… tapi kalau kita asyik dengki mendengki…Nasib la sebab sudah ditentukan jalan yang sukar itu yang kita pilih..saper suruh.

Renung-renungkanlah, berapa ramai kawan kita dan berapa ramai lawan kita, nescaya itulah kayu pengukur diri yang sebaiknya

“Mengkritik tidak bererti menentang. Menyetujui tidak semestinya menyokong. Menegur tidak bermakna membenci dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.”

Diterima dari : Lin Razlyn (razlyn_lin@yahoo.com)

Tiada penyelewengan akidah dalam Islam Hadhari

ISLAM Hadhari merupakan satu lagi dasar pembangunan negara yang dilihat berteraskan Islam. Ia juga pendekatan yang berteraskan kepada pembinaan tamadun bagi umat Islam.

Pendekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan juga bertujuan mengeluarkan umat Islam dari belenggu kejumudan dan kemiskinan, di mana kedudukan umat Islam di mata dunia seringkali dikaitkan dengan masalah-masalah tersebut.

Kedudukan umat Islam di dunia umumnya, dan Malaysia khususnya telah ketinggalan dalam pelbagai aspek kemajuan. Walaupun pegangan akidah mereka kuat dan mempunyai ramai golongan yang berilmu, namun mereka masih tidak mampu untuk bangkit dari permasalahan yang melanda umat Islam dan tidak berupaya untuk menjadi umat yang maju di dalam segala bidang.

Dalam keadaan apa pun sekarang ini, Islam Hadhari masih relevan dan diterima rakyat negara ini meskipun terdapat pihak yang menolak pendekatan itu kerana merasakan kandungannya bercanggah dengan ajaran Islam. Pendekatan Hadhari ini dilakukan kira-kira empat tahun lalu dengan asas yang kukuh berdasarkan al-Quran dan hadis selain merujuk kepada prinsip Islam selaras dengan Maqasid Al-Syariah dan termasuk ijtihad, islah dan tajdid. Ini ditegas oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis yang bermaksud: "Dalam setiap abad itu Allah akan menghantar mereka yang memperbaharui agamanya". (Maksud Hadis)

Islam Hadhari ialah Islam yang sifatnya terbuka dan semasa, sesuai dengan kemajuan dan boleh dilaksanakan pada setiap masa dan tempat. Istilah hadhari mula digunakan secara agak meluas di Malaysia setelah pemimpin-pemimpin utama negara menggunakannya untuk menampilkan gagasan Islam progresif sebagai pendekatan yang diperlukan oleh umat mengikut perubahan zaman. Islam hadhari bukanlah perkara pokok yang menyentuh persoalan akidah tetapi ia berkait dengan urus tadbir negara. Malah gagasan ini adalah kesinambungan daripada rancangan dasar penerapan nilai-nilai Islam.

Konsep hadhari merupakan gagasan pemikiran dan gerak kerja yang amat bermakna bagi Malaysia dalam usaha membangun sebuah negara maju serta bertamadun dalam kerangka ajaran Islam sebagai agama rasmi negara. Pada asasnya, konsep hadhari merujuk kepada amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan, yang bersifat komprehensif dan seimbang.

Ini merujuk kepada keperluan untuk menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi dan kejayaan peribadi dan kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, disebabkan ada umat Islam yang terkeliru dan mengabaikan salah satu dan kedua-dua aspek, maka nilai hadhari ini perlu ditekankan bagi meletakkan kembali umat Islam pada landasan sebenar mengikut syariatnya.

Konsep hadhari juga ialah Islam yang dinamik, yang sedar akan perubahan-perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Jika tidak, umat Islam akan terus ketinggalan ditelan arus zaman. Cabaran-cabaran dalam bidang ekonomi, kewangan, teknologi dan perdagangan antarabangsa yang bersifat global perlu disahut supaya kita memperkasakan keupayaan dan potensi bagi menangkis segala bentuk penindasan yang dilakukan oleh negara-negara maju.

Konsep hadhari merupakan lanjutan kepada komitmen berterusan mengisi erti sebagai agama rasmi negara yang ingin melihat kepentingan pembangunan spirituil yang setara sebagai komponen penting dalam kehidupan ummah. Namun begitu, kita melihat konsep hadhari mempunyai keistimewaan tersendiri, lebih-lebih lagi Islam sering dikaitkan dengan gejala-gejala negatif seperti kejahilan, kekolotan, kemunduran, penindasan dan keganasan.

Agenda tentang pembangunan insan, pengurusan hidup duniawi yang seimbang antara tujuan fardu ain dan fardu kifayah perlu diletakkan di hadapan kerana kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang akan mencerminkan kemakmuran dan kualiti hidup umat Islam itu sendiri.

Pembangunan yang dimaksudkan bukan hanya menyentuh soal-soal akhirat semata-mata, malahan mencakupi pelbagai bidang seperti bio-teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), angkasa lepas, perubatan dan sebagainya.

Dalam Islam, bidang-bidang ini dinamakan fardu kifayah yang menjadi kewajipan bersama untuk diterokai dan dimanfaatkan. Kemajuan yang dicapai dalam bidang-bidang tersebut sudah tentu dapat mengangkat martabat bangsa dan umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Islam hadhari tidak akan sempurna jika tidak dimasukkan ciri-ciri keperibadian dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri ini perlu ada pada segenap lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin tertinggi negara, para pegawai kerajaan, kakitangan awam dan swasta, golongan belia sehinggalah kepada rakyat jelata.

Tidak perlu usaha 'memperlekehkan' Islam Hadhari kerana pendekatannya bukan bertujuan membawa kemunduran mahupun kemudaratan kepada ummah. Mengapa mesti 'ditentang' usaha ke arah pembangunan ummah? Sepatutnya pendekatan yang dianjurkan dalam konsep Islam Hadhari itu dimantapkan menerusi buah fikiran yang bernas dan membina daripada pelbagai pihak. Bukan cuba 'meruntuhkannya'.

Penyebaran dakwah melalui ICT berkesan pikat generasi muda

OLEH RUZAIN SYUKUR MANSOR

GOLONGAN belia sinonim dengan tenaga dan minda kreatif serta inovasi. Kelebihan itu andai dipacu dengan penuh hikmah ke jalan dakwah, pastinya menghasilkan impak hebat dan bermanfaat untuk agama serta masyarakat.

Usaha dakwah memerlukan momentum dan kepakaran tenaga muda. Maka golongan muda yang sudah melalui proses tarbiah seharusnya diberikan peluang berada dalam barisan mengembangkan syiar Islam.

Untuk itu, golongan belia tidak perlu berasa rendah diri dan hendaklah bijak mengaplikasikan kemahiran dimiliki untuk menyumbang ke arah memperkasa usaha dakwah.

Penemuan bidang baru seperti teknologi maklumat, perniagaan, penyiaran dan penulisan seharusnya menjadi medan dakwah yang terus disuburkan oleh golongan belia.

Bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mempunyai banyak peluang untuk pakar animasi dan multimedia berdakwah. Aplikasi dan perisian jawi, bahasa Arab berbentuk permainan dan kuiz dalam talian boleh direka cipta bagi menambah nilai pengajaran pendidikan Islam.

Sementara penjualan buku dakwah melalui laman web juga boleh diusahakan pakar laman web bagi proses pengembangan ilmu semakin berkembang dengan pantas dan meluas.

Peluang dakwah dalam bidang kesenian turut terbuka luas untuk belia. Kemudahan muat turun nada dering ke telefon bimbit berunsur kesenian Islam perlu diperluas bagi menyaingi kebanjiran nada dering pop komersial yang meluas.

Sementara galakan terhadap penerbitan album nasyid bakal memberikan impak dakwah melalui kesenian. Di sinilah kepakaran penggubah lagu dan lirik lagu dakwah bergabung dengan pemilik teknologi rakaman suara untuk menghasilkan album dakwah bermatlamatkan mencari keredaan Allah.

Selain itu dakwah dalam bidang penyiaran sama ada radio dan media elektronik menanti golongan belia. Kerjaya dalam bidang penyiaran radio Islam seperti Radio ikim.fm umpamanya mampu mendedahkan generasi muda dengan penyebaran dakwah kepada massa.

Ini melalui penerbitan rancangan berunsur keagamaan seperti temu ramah ilmiah, forum bersama tokoh agama serta drama radio dakwah. Mengambil kira pengalaman ikim.fm mengendalikan slot dakwah seperti forum bicara Ad-deen, sudut hukum, duniaku buku dan carta nasyid.

Penulisan dakwah pula kini mempunyai masa depan cukup cerah dan seharusnya menggunakan bakat penulisan kreatif bagi menghasilkan lebih banyak cerpen serta novel berunsur dakwah sebagai sumbangan untuk memacu kegemilangan Islam. Lebih daripada itu, skrip drama dan filem dakwah kini mempunyai ruang untuk ditonjolkan bagi memenuhi misi dakwah.

Laman blog juga membuka satu lagi ruang remaja dan belia untuk berdakwah pada peringkat global. Cuma kebebasan di alam maya itu tidak harus disalahgunakan. Penulis blog dakwah perlu bertanggungjawab terhadap idea yang dilontarkan.

Golongan belia sebenarnya mampu menjadi pendakwah hebat. Cuma, kelompok ini mesti menjalani proses tarbiah untuk menjadi pendakwah selain memahami keperluan dakwah itu. Semoga sumbangan belia dapat menjadikan mereka lebih matang dan memenuhi tanggungjawab menyebarkan syiar Islam kepada semua.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20090404011333/Article/

Imbasan Gambar Mesyuarat Agong GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan





Majlis Penyampaian Cek Bantuan Memperkasakan Persatuan Belia Negeri Perak 2009








Majlis Penyampaian Cek Bantuan Memperkasakan Persatuan Belia Negeri Perak telah diadakan pada 13hb Ogos 2009 bertempat di Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Perak. Majlis telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak YAB Dato Dr Zamry.

GB4B(M) Cawangan telah terpilih untuk i menerima cek bantuan tersebut bernilai RM 3,000.00 yang telah diterima oleh Sdra Basri bin Zamri mewakili persatuan ini. Cek tersebut akan digunakan oleh persatuan untuk melaksanakan program-program yang telah dirancang bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa belia diperingkat cawangan. Turut menyertai bagi mewakili GB4B(M) Cawangan Lambor Kanan adalah Sdra Nor Aizuddin bin Salim ( Timbalan Pengerusi ) dan Sdra Tuan Haji Ayob bin Hj Kamarudin ( Mantan ) serta 3 orang beliawanis 4B.