Thursday, August 13, 2009

Tiada penyelewengan akidah dalam Islam Hadhari

ISLAM Hadhari merupakan satu lagi dasar pembangunan negara yang dilihat berteraskan Islam. Ia juga pendekatan yang berteraskan kepada pembinaan tamadun bagi umat Islam.

Pendekatan yang diperkenalkan oleh kerajaan juga bertujuan mengeluarkan umat Islam dari belenggu kejumudan dan kemiskinan, di mana kedudukan umat Islam di mata dunia seringkali dikaitkan dengan masalah-masalah tersebut.

Kedudukan umat Islam di dunia umumnya, dan Malaysia khususnya telah ketinggalan dalam pelbagai aspek kemajuan. Walaupun pegangan akidah mereka kuat dan mempunyai ramai golongan yang berilmu, namun mereka masih tidak mampu untuk bangkit dari permasalahan yang melanda umat Islam dan tidak berupaya untuk menjadi umat yang maju di dalam segala bidang.

Dalam keadaan apa pun sekarang ini, Islam Hadhari masih relevan dan diterima rakyat negara ini meskipun terdapat pihak yang menolak pendekatan itu kerana merasakan kandungannya bercanggah dengan ajaran Islam. Pendekatan Hadhari ini dilakukan kira-kira empat tahun lalu dengan asas yang kukuh berdasarkan al-Quran dan hadis selain merujuk kepada prinsip Islam selaras dengan Maqasid Al-Syariah dan termasuk ijtihad, islah dan tajdid. Ini ditegas oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis yang bermaksud: "Dalam setiap abad itu Allah akan menghantar mereka yang memperbaharui agamanya". (Maksud Hadis)

Islam Hadhari ialah Islam yang sifatnya terbuka dan semasa, sesuai dengan kemajuan dan boleh dilaksanakan pada setiap masa dan tempat. Istilah hadhari mula digunakan secara agak meluas di Malaysia setelah pemimpin-pemimpin utama negara menggunakannya untuk menampilkan gagasan Islam progresif sebagai pendekatan yang diperlukan oleh umat mengikut perubahan zaman. Islam hadhari bukanlah perkara pokok yang menyentuh persoalan akidah tetapi ia berkait dengan urus tadbir negara. Malah gagasan ini adalah kesinambungan daripada rancangan dasar penerapan nilai-nilai Islam.

Konsep hadhari merupakan gagasan pemikiran dan gerak kerja yang amat bermakna bagi Malaysia dalam usaha membangun sebuah negara maju serta bertamadun dalam kerangka ajaran Islam sebagai agama rasmi negara. Pada asasnya, konsep hadhari merujuk kepada amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan, yang bersifat komprehensif dan seimbang.

Ini merujuk kepada keperluan untuk menggabungkan kecemerlangan aspek fizikal dan spiritual, duniawi dan ukhrawi dan kejayaan peribadi dan kesejahteraan masyarakat. Bagaimanapun, disebabkan ada umat Islam yang terkeliru dan mengabaikan salah satu dan kedua-dua aspek, maka nilai hadhari ini perlu ditekankan bagi meletakkan kembali umat Islam pada landasan sebenar mengikut syariatnya.

Konsep hadhari juga ialah Islam yang dinamik, yang sedar akan perubahan-perubahan yang berlaku di sekelilingnya. Jika tidak, umat Islam akan terus ketinggalan ditelan arus zaman. Cabaran-cabaran dalam bidang ekonomi, kewangan, teknologi dan perdagangan antarabangsa yang bersifat global perlu disahut supaya kita memperkasakan keupayaan dan potensi bagi menangkis segala bentuk penindasan yang dilakukan oleh negara-negara maju.

Konsep hadhari merupakan lanjutan kepada komitmen berterusan mengisi erti sebagai agama rasmi negara yang ingin melihat kepentingan pembangunan spirituil yang setara sebagai komponen penting dalam kehidupan ummah. Namun begitu, kita melihat konsep hadhari mempunyai keistimewaan tersendiri, lebih-lebih lagi Islam sering dikaitkan dengan gejala-gejala negatif seperti kejahilan, kekolotan, kemunduran, penindasan dan keganasan.

Agenda tentang pembangunan insan, pengurusan hidup duniawi yang seimbang antara tujuan fardu ain dan fardu kifayah perlu diletakkan di hadapan kerana kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang akan mencerminkan kemakmuran dan kualiti hidup umat Islam itu sendiri.

Pembangunan yang dimaksudkan bukan hanya menyentuh soal-soal akhirat semata-mata, malahan mencakupi pelbagai bidang seperti bio-teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), angkasa lepas, perubatan dan sebagainya.

Dalam Islam, bidang-bidang ini dinamakan fardu kifayah yang menjadi kewajipan bersama untuk diterokai dan dimanfaatkan. Kemajuan yang dicapai dalam bidang-bidang tersebut sudah tentu dapat mengangkat martabat bangsa dan umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Islam hadhari tidak akan sempurna jika tidak dimasukkan ciri-ciri keperibadian dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri ini perlu ada pada segenap lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin tertinggi negara, para pegawai kerajaan, kakitangan awam dan swasta, golongan belia sehinggalah kepada rakyat jelata.

Tidak perlu usaha 'memperlekehkan' Islam Hadhari kerana pendekatannya bukan bertujuan membawa kemunduran mahupun kemudaratan kepada ummah. Mengapa mesti 'ditentang' usaha ke arah pembangunan ummah? Sepatutnya pendekatan yang dianjurkan dalam konsep Islam Hadhari itu dimantapkan menerusi buah fikiran yang bernas dan membina daripada pelbagai pihak. Bukan cuba 'meruntuhkannya'.

No comments:

Post a Comment